Pelajar Kolej Hadapi Lima Pertuduhan Amang Seksual Pelajar Taekwondo

KUALA LUMPUR: Seorang jurulatih taekwando berdepan dengan lima pertuduhan amang seksual fizikal ke atas lima kanak-kanak perempuan antara September hingga Oktober lalu.

Ahmad Munir Zainuddin, 20, yang juga pelajar di sebuah kolej swasta didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Terdahulu, Ahmad Munir memakai baju berwarna merah tiba di perkarangan mahkamah sekitar 8.45 pagi dengan diiringi anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak- kanak pelatih yang berusia antara tujuh hingga 11 tahun.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Dewan Cengal Seksyen 24, di sini pukul 8.30 pagi pada bulan September hingga 28 Oktober lalu.

Susulan itu, Ahmad Munir didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kanak-Kanak Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nabilah Abd Rashid mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap pertuduhan selepas mengambilkira kesalahan membabitkan kanak-kanak.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Adil Safean Ahmad Shaffie memohon agar jaminan dikurangkan dengan mengambil status anak guamnya masih belajar dan bekerja sambilan untuk menanggung kedua ibu bapanya.

Rasyihah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Selain itu, syarat tambahan turut dikenakan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan, menyerahkan pasport pada mahkamah dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pengajar seni mempertahankan diri telah ditahan di sebuah pasar raya di sini sekitar 4 petang pada 2 November lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, penahanan dibuat selepas pihaknya menerima lima laporan berkaitan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 7 hingga 11 tahun.

Susulan itu, suspek yang juga pelajar sebuah kolej swasta di Lembah Klang itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Siasatan mendapati, suspek menggunakan alasan mahu membetulkan tali pinggang mangsa di tandas sebelum melakukan perbuatan jenayah terbabit.

BBerkaitan

Latest articles