SABAK BERNAM: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sebuah sekolah menengah di sini ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor susulan insiden seorang pelajar tingkatan tiga terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah itu diambil sementara siasatan dalaman dan luaran dijalankan, termasuk dakwaan wujudnya unsur buli dalam kejadian tersebut.
“Selain laporan polis yang telah dibuat, KPM juga telah memulakan siasatan dalaman bagi memastikan semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah diteliti dengan rapi.
“Saya memberi jaminan bahawa siasatan akan dilakukan secara menyeluruh, termasuk terhadap dakwaan berlakunya kes buli. Pada masa sama, saya berdoa agar pelajar berkenaan segera pulih dan keluarga tabah menghadapi situasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, seorang pelajar dikenali sebagai Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, dilaporkan parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.
Mangsa kini kritikal dengan kecederaan serius termasuk pendarahan di kedua-dua bahagian otak, rahang patah serta kerosakan pada paru-paru.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan menerima laporan berhubung insiden itu dan memaklumkan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurutnya, siasatan merangkumi pelbagai aspek termasuk pengurusan asrama, keselamatan pelajar serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan.
“Buat masa ini, polis sedang merekod keterangan saksi serta individu berkaitan. Sebarang dakwaan berhubung punca kejadian, termasuk isu buli, masih terlalu awal untuk dipastikan,” katanya.
Shazeli turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu emosi keluarga serta menjejaskan proses siasatan.
Beliau menegaskan polis akan menjalankan siasatan secara telus dan perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.