ALOR GAJAH: Polis menahan seorang pengawal keselamatan Klinik Pergigian Alor Gajah selepas disyaki mencabul seorang pesakit lelaki yang baru mendapatkan rawatan di pusat kesihatan awam itu, tengah hari tadi.
Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, suspek berusia 19 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira 12.05 tengah hari.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 2.40 petang Selasa lalu semasa pengadu, pelajar universiti swasta lelaki berusia 19 tahun baru selesai menerima rawatan di Klinik Pergigian Alor Gajah.
“Sebelum pulang, pengadu bertanyakan di manakah tandas kepada suspek yang sedang bertugas ketika itu sebelum pengawal keselamatan terbabit menyuruh mangsa mengikutinya.
“Ketika berada di dalam tandas, pengadu ternampak suspek seperti sedang mengintainya sebelum mengetuk pintu tandas untuk menyuruhnya membuka lampu tandas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, kejadian berlaku ketika pelajar itu membuka sedikit pintu untuk menekan suis lampu di luar, tiba-tiba pengawal keselamatan berkenaan tercegat di hadapan pintu dan cuba masuk ke dalam tandas.
“Suspek menolak pintu tandas dan tiba-tiba memegang kemaluan pengadu menyebabkannya terus menolak suspek dan menutup semula pintu tandas.
“Selang beberapa minit selepas melihat suspek beredar, pengadu terus membuat aduan di bahagian kaunter klinik diikuti dengan laporan polis di balai,” katanya.
Tambahnya, bertindak hasil daripada maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian D11 JSJ IPK Melaka telah menangkap suspek di hadapan Klinik Pergigian Alor Gajah, tengah hari tadi.