KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyarankan agar murid dan pelajar sekolah memakai lencana Jalur Gemilang jenis berpin yang telah diberikan secara percuma oleh kerajaan sebelum ini.
“Kita sudah beri percuma (lencana Jalur Gemilang) secara yang berpin, pakai dahulu,” katanya kepada media selepas meninjau proses penyerahan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Kajang hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan pertanyaan berkenaan penggunaan lencana Jalur Gemilang dalam kalangan pelajar, khususnya berkaitan kebimbangan mengenai keselamatan penggunaan lencana berpin.
Difahamkan, terdapat kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan guru mengenai risiko kecederaan yang mungkin berlaku akibat penggunaan pin, terutama kepada murid-murid sekolah rendah yang masih belum mahir mengendalikan objek tajam.
Antara risiko yang dibangkitkan termasuk kemungkinan pelajar terpijak atau terduduk atas pin yang tercabut atau tercicir, serta potensi kerosakan pada pakaian sekolah jika besi pin tersebut berkarat.
Di sebalik kebimbangan tersebut, kementerian setakat ini mengekalkan penggunaan lencana berpin sedia ada dan menggesa semua pelajar memanfaatkannya dengan berhati-hati.
Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan dijangka terus memantau isu berkenaan dan akan mempertimbangkan alternatif yang lebih selamat jika perlu.