Pelajar 15 Tahun Maut Tercampak Dalam Longkang, Kereta Didakwa Membelok Mengejut

KULIM: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun maut dalam kejadian tragis apabila motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta yang didakwa membelok secara tiba-tiba di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Padang Serai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, mangsa yang merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di kawasan itu meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan serius pada kepala selepas tercampak ke dalam longkang berhampiran tempat kejadian.

Menurut polis, pihak Balai Polis Trafik Kulim menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.30 pagi.

Hasil siasatan kemudian mendapati insiden berlaku kira-kira setengah jam lebih awal.

Ketika kejadian, remaja terbabit menunggang motosikal Yamaha 135 LC dari rumahnya di Taman Mahsuri untuk ke sebuah kedai berhampiran.

Ketika melalui jalan lurus di hadapan stesen minyak, sebuah Proton Saga FL dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah Jalan Padang Serai–Tasek Gelugor tiba-tiba membelok ke kiri untuk memasuki stesen minyak tanpa memberi laluan kepada motosikal tersebut.

Perlanggaran itu menyebabkan mangsa terpelanting ke dalam longkang dan topi keledarnya tercabut, mengakibatkan kecederaan parah yang meragut nyawanya di tempat kejadian.

Pemandu Proton Saga berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BBerkaitan

Latest articles