KAJANG: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang guru lelaki dalam insiden yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Kajang, kelmarin.
Pengakuan itu direkodkan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam prosiding tertutup berikutan tertuduh masih di bawah umur.
Mengikut pertuduhan, pelajar tingkatan peralihan itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang guru lelaki berusia 29 tahun pada jam 4.48 petang, Isnin lalu di sebuah sekolah menengah di daerah ini.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin memohon jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin atas alasan kes berkenaan serius dan telah menarik perhatian umum setelah video kejadian tular di media sosial.
Bagaimanapun, peguam bela S. Priyalatha merayu agar jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh masih bersekolah dan merupakan pesalah juvana. Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 11 September 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.
Sepanjang prosiding, remaja berkenaan hadir bersama ibu bapanya dan dilaporkan telah meluahkan rasa kesal serta memohon maaf atas perbuatannya terhadap guru terbabit.
Ibu tertuduh yang ditemui di perkarangan mahkamah berkata anak tunggalnya itu kini tinggal bersamanya selepas berpisah dengan suami.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan pelajar berkenaan bukan sahaja menumbuk guru terbabit, malah turut mengugutnya ketika kejadian berlaku di hadapan beberapa pelajar dan guru lain.
Selain disiasat di bawah Seksyen 323, kes juga disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.