Pelaburan ADIA Harus Buka Mata Pembangkang Di Malaysia

Buka mata dan terima kenyataan sebenar. Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak pernah dijual kepada pihak asing dan terus kekal menjadi milik Malaysia, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam parlimen pada 24 Jun 2025.

Ada pihak pembangkang yang cuba mengelirukan rakyat dan menuduh perkara yang tidak benar mengenai MAHB. Realitinya, dakwaan kononnya MAHB dijual menerusi pemilikan syarikat asing adalah sama sekali tidak berbangkit. Penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) hanya melibatkan pengurusan dan ia adalah amalan sama yang dilaksana MAHB di Turkiye.

Sebelum itu, pada 21 Jun 2024, Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA, Phil Iley menjelaskan hubungan antara GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA). Iley berkata rakan strategik dari Malaysia akan memiliki 70 peratus pegangan dalam MAHB manakala GIP dan ADIA akan memiliki 30 peratus lagi melalui GIP Aurea Pte Ltd.

Phil Iley yakin Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mendapat manfaat daripada pelaburan yang tinggi, tahap perkhidmatan yang lebih baik dan pertumbuhan penumpang yang kukuh. Ini kerana menurut Iley, GIP membawa pengalaman selama beberapa dekad dalam menguruskan dan mengoperasikan lapangan terbang menerusi pelaburannya di Lapangan Terbang Sydney, Lapangan Terbang London Gatwick, Lapangan Terbang Edinburgh, Signature Aviation dan sebelum ini, Lapangan Terbang London City.

Pembangkang yang tidak melakukan “homework” mereka terlebih dahulu tidak mengenali dengan lebih apa itu GIP dan ADIA. Pembangkang hanya tahu memainkan sentimen bagi membangkitkan kemarahan rakyat, sedangkan apa yang sedang dilakukan pada era kerajaan MADANI ini adalah suatu yang luar biasa bila berjaya menarik entiti pelaburan terbesar di dunia untuk turut sama terlibat dalam transformasi dan pengstrukturan semula MAHB.

Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) adalah entiti pelaburan yang memiliki dana kekayaaan terbesar di dunia dengan aset dianggarkan melebihi US$1 trillion. Reputasi ADIA selaku pelabur terbesar di dunia memang menarik perhatian semua pihak, Malaysia beruntung kerana ADIA memberikan komitmen bagi menambahkan lagi pelaburannya dalam MAHB.

“ADIA hadir dengan membawa bersama-sama suara rakan syarikat pelaburan global yang lain dalam menerokai pelbagai peluang pelaburan yang terhidang di Malaysia. Tidak mustahil, pelaburan jangka panjang dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga, Insya-Allah.” – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menukilkan dalam Facebooknya pada 14 Januari 2025.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula berkata ADIA dikenali sebagai pelabur global berimpak tinggi dan mempunyai peranan penting dalam sektor infrastruktur, kesihatan dan tenaga.

Malaysia bertuah kerana ADIA hanya melabur antara 5% hingga 10% dananya di negara-negara membangun di Asia. Pada tahun 2024, ADIA telah melabur sejumlah US$1.7 billion dalam pelaburan perikanan di Amerika Syarikat, US$2.8 billion dalam pembinaan jalanraya di Indonesia dan sejumlah US$5.6 billion dalam syarikat telekomunikasi dari Itali, NetCo SRL.

Bagi tahun 2025, dua tiga hari lepas baru sahaja diumumkan ADIA melabur sejumlah US$500 juta dalam sektor tenaga di Amerika Syarikat menerusi pegangan dalam syarikat Alpha Generation (AlphaGen).

Rugilah jika reputasi ADIA yang baik ini dipolitikkan oleh pembangkang, harapnya pembangkang di Malaysia membuat “homework” terlebih dahulu sebelum menghentam dengan soalan-soalan yang separa matang dalam parlimen. Memalukan negara jika ada ahli parlimen dari Malaysia yang mempersoalkan apa yang diusahakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ini dalam parlimen nanti.

Berlapanglah dada kerana pelaburan ini adalah untuk semua rakyat Malaysia bagi membangunkan negara ini ke arah yang lebih baik. Peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi yang akan dijana menerusi pertambahan daripada ADIA ini akan memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia. Sebagai rakyat kita perlu berterima kasih dengan dedikasi yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri dalam menarik syarikat pelaburan terbesar dunia untuk datang membawa dananya ke Malaysia.

oleh Muda Muhammad
Penafian: Artikel ini diterima melalui e-mel TheRakyat Insight dan tidak mewakili pendirian Editorial

BBerkaitan

Latest articles