Pelabur Asing Ambil Peluang Dalam Negara Kerana Politik Stabil

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira dengan keadaan ekonomi negara pada hari ini, kerana ramai pelabur luar datang memilih Malaysia sebagai prospek perniagaan mereka.

Bahkan kestabilan politik negara juga memberi keyakinan kepada para pelabur, tambah Anwar.

“Apa yang istimewanya Malaysia, mereka (pelabur) kata politik stabil. Ya lah orang politik bising-bising di Parlimen, biasalah. Tetapi politik stabil. Orang yang mengidam hendak mengambil-alih kerajaan susahlah sikit sekarang ini.

“Politik yang stabil membantu memberi keyakinan kepada pelabur. Mereka lihat ada dasar yang jelas seperti dasar perindustrian, ekonomi madani, pelan transisi tenaga, tenaga hijau, transformasi digital.

“Saya bersyukur, alhamdulillah kerana Malaysia menjadi perhatian semula selepas ketinggalan berapa lama,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) anjuran Kementerian Sumber Manusia, hari ini.

Kata Anwar, syarikat-syarikat seperti Google, Zhejiang Geely Holding Group Co, Tesla dan Infineon mengekal dan menambahkan pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan berteknologi tinggi buat anak tempatan.

“Ini bukan sahaja kerana pimpinan politik, ini saya ingin tekankan tanpa kecuali, baik Geely, Infineon, Google, Elon Musk mereka menyataan ‘perdana menteri, saya gembira dan berpuashati dengan profesionalisme tenaga kerja anda’.

“Saya ambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak pengurusan, kementerian, pengarah dan anak-anak yang mengikuti latihan dan terjun ke bidang ini dengan disiplin dan etika kerja yang membanggakan,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata, dengan kestabilan politik yang dikecapi beliau menjangkakan untuk tahun depan Malaysia akan lebih agresif dan tegas membawa perubahan dan anjakan yang diperlukan.

Ia bukan sahaja untuk menyelamatkan negara tetapi mengangkat martabat Malaysia sebagai sebuah negara hebat di rantau ini.

Tambah Anwar, untuk melaksanakan perubahan bukan mudah dan kerana itu ketika mula mentadbir negara dan kerajaan beliau menekankan beberapa perkara termasuk tatakelola dan nilai madani walaupun tidak disenangi oleh banyak pihak.

Tegasnya, Malaysia tidak boleh lagi dikenali sebagai sebuah negara yang tolerasi dengan rasuah dan penyelewangan.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Sumber Mansia V. Sivakumar.

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada pemenang terbaik keseluruhan dalam Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP).

Anugerah tersebut diberikan kepada Muhammad Hakimi Abu Bakar (GiatMARA Kota Bharu) dan Hayutun Nufus Roshisham (KV Kajang) bagi kategori pelajar dan Mohd. Fairuz Hamdzah (IKM Lumut) dan Mohd. Nazeri Abdul (Kolej Perhebat) bagi kategori pengajar.

Manakala Datuk Shamsuddin Amar pula dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Mahir 2023.

Sebanyak 28 bidang dipertandingkan bagi kategori belia (WSMB), 10 bidang kategori pengajar (WSMP) dan 7 bidang kategori junior (JSM).

BBerkaitan

Latest articles