KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membakar kereta isterinya, dalam kejadian minggu lalu.
Tertuduh, Chai Kaw Fung, 26, yang merupakan seorang pekerja kedai aksesori kemudiannya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok@Embok Mok.
Harian Metro melaporkan lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api mengakibatkan kerosakan dengan cara membakar kereta Toyota Vios milik isterinya, See Li Jing, 21.
Chai dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Tebrau, menghala ke pusat bandar raya, kira-kira 10.20 malam pada 2 Februari lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu manakala Chai diwakili peguam, Goh Sze Han.
Terdahulu, Siti Fatimah memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.
Beliau turut mencadangkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun Goh merayu mahkamah supaya jumlah jaminan terhadap anak guamnya dapat dikurangkan dengan alasan tertuduh bergaji RM3,000 sebulan dan menyara anak tunggal serta ibu bapanya uzur.
Hakim kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan seperti dicadangkan itu.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Mac depan untuk serahan dokumen.
Minggu lalu tular rakaman video seorang lelaki membakar kereta dipercayai milik isterinya di Jalan Tebrau, di sini.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata perselisihan faham rumah tangga disyaki menjadi punca sebuah kereta Toyota Vios disimbah petrol sebelum dibakar dalam kejadian berkenaan.
Raub dilaporkan berkata kejadian khianat itu dilakukan sendiri oleh suami kepada pemilik kereta berkenaan yang menyebabkan mangsa kerugian hampir RM90,000