Pejuang Tetap Tolak Kerjasama Dengan PH Selagi Kepentingan Anwar Jadi Perjuangan

KUALA LUMPUR: Nampaknya ajakan Pakatan Harapan (PH) untuk kesemua parti-parti pembangkang bergabung di bawah satu ‘payung besar’ menerima tentangan, terutama daripada Pejuang.

Parti yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad itu menganggap ‘payung besar’ politik pembangkang tidak lebih sekadar hanya mengangkat kepentingan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepertimana yang berlaku sejak sekian lamanya.

Hasrat PH itu dibidas oleh Naib Ketua Parti Pejuang Tanahair (Pejuang Muda), Nik Fathurahman Nik Rasli dengan berkata pelawaan PH sebagai tidak ikhlas selain mempersoalkan tindakan PKR yang mahu menggunakan logonya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Apatah lagi DAP dan Amanah, dua parti komponen PH menggunakan logo gabungan berkenaan untuk bertanding.

”Malah, saya difahamkan Anwar belum lagi menghubungi mana-mana kepimpinan Pejuang untuk rundingan. Kenyataan bersama Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng seolah-olah kecewa namun terpaksa akur juga adalah indikasi kejelekan mereka kepada sikap “abang besar” PKR.

”Panggilan ‘Payung Besar’ ternyata hanya halwa mulut. Anwar mahu strategi ‘payung besar’ gagal, justeru dengan sengaja mencari jalan bagi mensabotaj idea yang asalnya datang dari DAP dan PAN. Berani saya katakan juga bahawa PKR dan Anwar mahu keseluruhan struktur dan kewujudan PH itu gagal,” katanya.

Nik Fathurahman juga berpandangan PKR sengaja bersikap sedemikian kerana rasa curiga yang masih menebal dalam kalangan pimpinan parti itu terhadap Pejuang, yang didakwanya bersekongkol dengan Langkah Sheraton.

”Naratif kononnya Tun Dr Mahathir (Mohamad) berkemungkinan mempunyai kaitan dengan “Langkah Sheraton” adalah tidak berasas sama sekali. Ia telah dibuktikan melalui jujukan peristiwa sebelum dan selepas.

”PH secara kolektif juga sering mengkambinghitamkan semua yang kononnya tidak baik sewaktu era PH ke atas sosok Tun Dr Mahathir. Pada masa sama, mereka mengambil kredit pula ke atas semua perkara yang baik yang berlaku di era tersebut. Di mana prinsip collective responsibility PH?”

”Di persimpangan ini, satu kerjasama politik atas inisiatif ‘payung besar’ adalah sukar kerana nampaknya, kepentingan PKR dan Anwar lebih didahulukan berbanding kepentingan keseluruhan gabungan,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles