Pejuang Tak Boleh Teruskan Politik Kuno, Halang Generasi Muda Jadi Calon Pilihan Raya

 

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dikritik oleh pemimpin mudanya apabila mengingatkan parti itu untuk tidak mengamalkan lagi politik ‘ke belakang’ iaitu, tidak memberi laluan kepada anak muda menyertai pilihan raya, terutama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Ketua Pejuang Muda, Nik Fathurahman Nik Rasli menggesa parti memberi ruang sekurang-kurangnya 30 peratus kepada anak muda untuk menyertai PRN Johor.

Katanya, saranan laluan kepada anak muda itu selaras dengan hasrat Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu golongan muda diberi peluang untuk bersama-sama mencorak negara.

Apatah lagi dengan pelaksanaan Uundi 18 dan undi automatik.

”Sudah banyak parti, malah parti-parti Melayu lama pun yang sudah mula mencalonkan lebih ramai anak muda. Ia menghantar isyarat jelas kepada anak muda bahawa parti-parti ini tidak lagi berada di takuk lama, sudah terevolusi dan bersedia menghadapi perubahan serta cabaran masa hadapan.

”Kegagalan untuk berbuat demikian akan mencerminkan bahawa parti masih mengamalkan politik kuno dan mematahkan semangat anak muda untuk berkecimpung dalam parti politik,” katanya.

Nik Fathurahman membidas anggapan sesetengah pihak kononnya anak muda berdepan dengan kemampuan kewangan, kebolehan mengumpul orang ramai dan kekerapan hadir ke majlis anjuran parti.

”Dalam kalangan anak muda ini banyak ideologi pemikiran baharu yang dibentuk melalui peredaran zaman. Justeru, pemilihan calon hendaklah merangkum perkara-perkara yang lebih luas dan holistik.

“Jika anak muda ada begitu banyak kelemahan di mata sesetengah pihak, maka adalah menjadi tanggungjawab mereka yang mungkin lebih berumur ini untuk menunjukkan jalan dan memberi nasihat serta membantu anak muda untuk maju ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, jika benar parti Pejuang mahu melaksanakan perubahan di peringkat dasar, adalah penting untuk ia memberi peluang kepada anak muda.

“Biarlah PRN Johor ini menjadi batu ukur yang memperlihatkan kepada pengundi bahawa parti kita bersedia melangkah ke era baharu politik dengan perubahan-perubahan yang berani,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles