JOHOR BAHRU: Sudah terlewat bagi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA untuk mempelawa Pejuang untuk bekerjasama bersatu melawan Barisan Nasional (BN) dengan hanya mengundi calon-calon PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoalkan keperluan untuk partinya menyokong calon-calon dari PH dan MUDA semata-mata sedangkan Pejuang turut bertanding.
“Saya kira agak terlewat untuk kita gabungkan undi-undi ini dan kenapa pula nak kena sokong calon dia sahajakan? Patutnya kalau serius nak buat begitu kena bincang awal-awallah,” sindir Mukhriz dalam sidang medianya semalam.
Terdahulu, Pengarah-pengarah komunikasi daripada PKR, Amanah, DAP dan MUDA mengeluarkan kenyataan bersama mengesyorkan agar semua pihak hanya memberi undi kepada calon PH dan MUDA.
Ajakan tersebut dibuat kepada penyokong Pejuang, Warisan dan Perikatan Nasional iaitu parti-parti yang menentang BN dalam pilihan raya yang berlangsung, esok.
Menurut kenyataan tersebut, undi yang diberikan kepada calon-calon selain PH dan MUDA hanya akan menguntungkan BN, sambil menambah hanya PH dan MUDA mampu mengalahkan BN.
“Tak acilah macam tu. Kami pun bertanding juga. Saya faham mungkin tujuan dia hendak menyatukan pengundi yang tidak menyokong BN dan PN.
“Sebelum ini ada dikatakan bahawa undi pembangkang ini perlu disatukan. Saya sudah sebut sebelum ini bahawa khemah besar yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan tak menjadi.
“Hanya satu parti yang menyertai iaitu MUDA itu pun dengan tiga lambang iaitu Pakatan Harapan, PKR dan MUDA. Jadi ini pun pada pandangan kami mengelirukan pengundi,” tegas Mukhriz.
Dalam pada itu, Mukhriz tidak menolak kerjasama calon-calon Pejuang yang menang dalam PRN Johor itu nanti untuk bergabung dengan parti-parti lain dalam menubuhkan kerajaan negeri.
Namun kerjasama itu, ujarnya, tidak melibatkan BN.
“Saya ingat dalam banyak-banyak parti, jurang paling besar wujud adalah antara Pejuang dengan Barisan Nasional. Parti-parti lain duduk tengah,” katanya.
PRN Johor menyaksikan Pejuang akan meletakkan 42 calon untuk bertanding.