Parti baru pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan seorang peguam syarie sebagai calon untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, 29 Ogos depan.
Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38 diumumkan sebagai calon parti itu di majlis memperkenalkan calon di Bilik Gerakan Utama Pejuang, Persiaran Slim Permata di Slim River, malam tadi.
Amir akan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz yang juga pemangku Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim.
“Kita mula memperkenalkan seorang calon di Slim ini. Oleh kerana kita belum dapat tubuh parti kita, maka kita kenali sebagai calon Bebas tetapi sebenarnya adalah beliau merupakan calon parti Pejuang,
“Dengan itu saya harap segala pejuang-pejuang bangsa di Slim ini akan menyokong calon kami calon parti Pejuang. Percayalah parti ini akan pegang teguh kepada penolakan politik kewangan,” kata Dr Mahathir, selaku pengerusi sementara Pejuang.
Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga kelihatan di majlis pengumuman calon malam tadi, antaranya Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chan Lih Kang; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke; bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Dewan Negara Datuk Marzuki Yahya dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md Salleh.
Turut kelihatan adalah bekas ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sebelum ini diura-urakan bakal menubuhkan parti berasaskan belia.
PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.
Pengundian PRK Slim akan diadakan pada 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos.