Pejuang Dakwa Banyak Parti Politik Mahu Bekerjasama Dalam PRU15

KOTA BHARU: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengesahkan ia tidak akan masuk ke gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) secara bersendirian.

Sebaliknnya, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mendakwa pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa parti pembangkang dan berkecuali, malah termasuk parti yang berada di dalam kerajaan.

Bagaimanapun Mukhriz memaklumkan perbincangan itu diadakan secara tidak formal.

“Kemungkinan besar kita tidak akan memasuki PRU-15 dengan berseorangan. Jadi, kita memang dah bincang dengan beberapa parti termasuk parti kerajaan, pembangkang dan parti yang tidak menyokong mana-mana pihak (berkecuali).

“Kita tidak menganggap parti yang tidak menyokong mana-mana pihak ini sebagai kecil.

“Perbincangan dibuat secara tidak formal dan perbincangan formal akan diadakan dalam masa terdekat. Kita terbuka untuk kerjasama ini, baik dari segi gabungan atau pakatan literal,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Majlis Pimpinan Pejuang Kelantan, hari ini.

Mengulas berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu di Kelantan pada PRU-15, Mukhriz berkata, PEJUANG adalah parti Melayu dan sudah tentu sasaran parti itu juga negeri Melayu termasuk Kelantan.

“Kami memberi keterbukaan itu kepada Majlis Pimpinan dan Kelantan untuk mengenal pasti kerusi mana yang kita bersedia tawarkan calon menjelang PRU-15.

“Kita sudah membuat persiapan dan persiapan yang saya maksudkan dari segi jumlah ahlinya, calon yang terlatih dan yang diterima baik oleh penduduk setempat serta ada kriteria lain.

“Berapa jumlah kerusi yang (kita) akan bertanding di Kelantan ini… Saya menyerahkan kepada pimpinan Kelantan untuk mengemukakan cadangan pimpinan di peringkat Pusat,” katanya

BBerkaitan

Latest articles