Peja Usah ‘Auta’ Pengundi Kononnya Kerajaan Pusat Bertukar Selepas PRN

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) kesal dengan tindakan pembangkang yang memainkan sentimen akan berlakunya pertukaran kepimpinan di Putrajaya selepas Pilihan Raya Negeri, Sabtu ini.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin memberi amaran kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menggunakan isu naratif kerana terdesak meraih undi.

Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu itu mendakwa Kerajaan Pusat akan bertukar walaupun terikat dengan Akta Lompat Parti.

“Saya bukan emosi, ini adalah satu permainan politik jahat dan kotor apabila mereka merasakan tidak mampu untuk menawan beberapa negeri mereka harapkan, maka mereka memberikan naratif yang salah.

“Pada saya jangan dan tak perlu sebut, saya fikir Peja (Ahmad Faizal) tahu.. berapa ramai yang nak lompat? Kerajaan yang ada hari ini cukup 148 kerusi, kenyataan Premier Sarawak, kenyataan Ketua Menteri Sabah, kenyataan Warisan iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal… kita ada 19 parti dalam Kerajaan Perpaduan maka daripada mana dia nak dapat angka ini?

“Nak dapatkan lebih 30 lebih ahli Parlimen dan walaupun ada ia adalah sesuatu yang tidak sihat. Kalau ada pun, tutup mulut kamu, jangan letup sana, letup sini. Tidak kasihan pada negara ke? Saya percaya ini strategi lama yang digunakan mereka, tunggulah nanti (12 Ogos) ini,” katanya.

Menjelaskan isu itu lagi, Megat Zulkarnain yang juga Pengerusi UMNO Selangor menambah, ketika ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Kerajaan Perpaduan berusaha untuk menarik pelaburan demi pengukuhan ekonomi negara.

“PM sedang mendapatkan pelaburan masuk, mereka mahu masuk. Ini adalah satu mainan politik yang tidak sihat dan kotor. Saya percaya ini adalah satu strategi lama yang digunakan mereka tapi tunggulah 12 haribulan nanti untuk tahu keputusan yang sebenar,” ujarnya.

Terdahulu Peja yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun berkata, meskipun terikat dengan Akta Lompat Parti namun tidak mustahil kerajaan Pusat akan bertukar sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi semua PRN nanti.

BBerkaitan

Latest articles