PUTRAJAYA, Prosiding hari keenam hujahan akhir kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi hari ini menyaksikan pasukan pembelaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menumpukan hujahan kepada 21 pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang dihadapi oleh Dato’ Sri Najib Razak.
Menurut peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican, dalam hujahan panjang hari ini pembelaan menegaskan bahawa semua elemen penting dalam kesalahan AMLA gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan, termasuk perbuatan (actus reus), niat (mens rea), serta sumber dana yang didakwa haram.
Tiada Arahan Daripada Najib Untuk Pemindahan Wang
Tan Sri Shafee berhujah bahawa Dato’ Sri Najib tidak pernah mengarahkan sebarang pemindahan wang berjumlah USD681 juta ke akaun peribadinya di AmIslamic Bank.
Tiga saksi pendakwaan sendiri — Uma Devi, Yap Wai Keat, dan Joanne Ayu — mengesahkan bahawa tiada arahan diberikan oleh Najib, sebaliknya arahan berpunca daripada Low Taek Jho (Jho Low) dan Nik Faisal Ariff Kamil, kedua-duanya kini dalam pelarian.
“Bagaimana boleh dikatakan beliau melakukan perbuatan mengubah wang haram sedangkan tiada bukti langsung beliau memberi arahan pemindahan?” hujah Tan Sri Shafee.
Menurut Hasnal lagi, tiada sebarang arahan diberikan oleh Dato’ Sri Najib Razak supaya wang berjumlah USD681 juta daripada akaun Nostro dipindahkan ke dalam akaun AmIslamic Bank untuk diterjemahkan kepada nilai RM2.081 bilion bagi kegunaan beliau.
Perlu diingat bahawa perbuatan yang didakwa dilakukan oleh Dato’ Sri Najib ialah perbuatan memindahkan wang. Namun, tiada sebarang keterangan yang menunjukkan beliau sendiri melakukan pemindahan itu.
Tiga orang saksi pendakwaan daripada AmIslamic Bank Uma Devi (saksi ke-37), Yap Wai Keat (saksi ke-38) dan Joanne Ayu (saksi ke-41) tampil memberi keterangan bahawa mereka tidak pernah menerima sebarang arahan daripada Dato’ Sri Najib untuk memindahkan wang tersebut.
Joanne Ayu, yang merupakan pegawai penghubung antara pihak bank dan Dato’ Sri Najib, menyatakan bahawa individu yang memberi arahan untuk memindahkan wang ke akaun peribadi Dato’ Sri Najib ialah Low Taek Jho (Jho Low).
Selain itu, seorang lagi individu, Nik Faisal Ariff Kamil, turut diberi mandat terhad untuk menandatangani cek dan mengesahkan penyata akaun. Kedua-dua mereka kini dalam pelarian dan tidak dapat dibawa ke mahkamah oleh pihak pendakwaan.
Keterangan ini datang daripada saksi-saksi pendakwaan sendiri, yang turut menamakan Jho Low sebagai pihak yang memberi arahan sebenar kepada pihak bank. Berdasarkan arahan itu, wang berkenaan telah dipindahkan daripada akaun Nostro AmBank di Wells Fargo, New York, ke dalam sistem AmBank, sebelum dikreditkan ke akaun peribadi Dato’ Sri Najib, iaitu akaun bernombor 9496.
Oleh itu, hujah pembelaan menegaskan bahawa Dato’ Sri Najib tidak melakukan sebarang perbuatan atau actus reus yang dikaitkan dengan pemindahan wang tersebut.
Penjelasan lanjut mengenai aliran dana ini turut diberikan oleh saksi pembela, Nazaruddin bin Mat Kassim, yang menerangkan secara terperinci proses pergerakan dana daripada akaun AmBank di Wells Fargo sehingga wang itu dimasukkan ke akaun Dato’ Sri Najib.
Gabungan keterangan tiga saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan itu, menurut pasukan pembela, jelas menunjukkan bahawa Dato’ Sri Najib tidak pernah mengarahkan dan tidak terlibat secara langsung dalam pemindahan wang tersebut ujar hasnal lagi.
Transaksi Dipecahkan Oleh Bank, Bukan Oleh Najib
Pembelaan turut menjelaskan bahawa wang daripada Tanore Finance Corporation hanya melibatkan dua transaksi besar — USD620 juta dan USD61 juta — yang kemudiannya dipecahkan kepada sembilan transaksi kecil oleh AmIslamic Bank sendiri untuk mematuhi arahan Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut Hasnal, proses pemindahan dana dari luar negara dilakukan melalui akaun Nostro milik AmIslamic Bank di Wells Fargo, New York, dalam denominasi USD sebelum ditukar kepada Ringgit Malaysia untuk dikreditkan ke akaun Dato’ Sri Najib.
Pihak yang memecah-mecahkan jumlah wang tersebut ialah AmBank sendiri, bukan Dato’ Sri Najib. Perkara itu diakui oleh pegawai bank, Nazaruddin bin Mat Kassim, yang menjelaskan bahawa jumlah besar tersebut tidak boleh dipindahkan secara terus kerana boleh memberi kesan kepada kestabilan mata wang di pasaran.
Penjelasan sama turut diberikan oleh Joanne Ayu, yang memaklumkan bahawa langkah memecahkan jumlah besar kepada transaksi lebih kecil dilakukan berdasarkan arahan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan pemindahan dilakukan secara berperingkat.
Tambahnya, akibat daripada proses itu, sembilan transaksi berasingan direkodkan. Namun pembelaan mempersoalkan mengapa Dato’ Sri Najib dikenakan sembilan pertuduhan berasingan, sedangkan beliau tidak terlibat dalam tindakan memecahkan transaksi tersebut.
Menurut pembelaan, BNM dan AmBank yang melaksanakan proses itu, bukan anak guam mereka. Oleh itu, pihak pendakwaan sepatutnya menggunakan Seksyen 164 Kanun Tatacara Jenayah, yang membolehkan beberapa transaksi berangkai dianggap sebagai satu kesalahan dalam satu kertas pertuduhan sahaja jelas hasnal lagi.
“Perpecahan itu dilakukan oleh pihak bank, bukan oleh anak guam saya. Maka tidak wajar sembilan pertuduhan AMLA dikemukakan. Ia sepatutnya diklasifikasikan sebagai satu pertuduhan di bawah Seksyen 164 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Najib Menyangka Derma Daripada Keluarga Diraja Arab Saudi
Tan Sri Shafee turut menegaskan bahawa anak guamnya tidak mempunyai niat jahat (mens rea), kerana beliau benar-benar percaya bahawa dana yang diterima merupakan sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi, sebagaimana dijanjikan oleh mendiang Raja Abdullah melalui surat rasmi sebelum ini.
“Najib telah menerima beberapa sumbangan derma daripada sumber yang sama sebelum ini. Maka, beliau tidak mempunyai sebab untuk menyangka bahawa wang kali ini datang daripada sumber yang berbeza,” katanya.
Hujahan pembelaan turut mempersoalkan teori pendakwaan yang mendakwa dana tersebut berasal daripada bon 1MDB melalui One Global Investment Limited (1GIL).
Namun ketika disoal balas, dua saksi utama pendakwaan — Adam dan Fu — mengakui mereka tidak dapat mengesahkan sumber sebenar wang tersebut.
Rekod akaun Tanore Finance juga menunjukkan baki defisit sebelum dana masuk, menggambarkan ia sebagai fasiliti overdraf dan bukannya hasil aktiviti jenayah.
Tambahan pula, pihak pendakwaan tidak menyiasat Falcon Bank, iaitu institusi pertama yang menyalurkan dana tersebut.
“Bagaimana boleh dikatakan dana itu hasil aktiviti haram jika aliran wang asal pun tidak pernah disiasat secara menyeluruh?” soal Shafee.
Surat Sokongan Diluluskan Kabinet, Tiada Salah Guna Kuasa
Dalam pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM, Najib didakwa menyalahgunakan kedudukan dengan menandatangani surat sokongan bagi penerbitan bon 1GIL.
Namun pembelaan menegaskan bahawa surat tersebut dikeluarkan atas permintaan rasmi 1MDB dan telah diluluskan dua kali oleh kabinet, membuktikan ia adalah keputusan kerajaan, bukan perbuatan peribadi untuk mendapat suapan.
“Kalau tiada kesalahan predikat, maka tiadalah kesalahan AMLA. Itu prinsip asas yang sudah ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan,” ujar Tan Sri Shafee merujuk kepada kes Public Prosecutor lwn. Kuala Dimensi Sdn. Bhd.
Pertuduhan Bersifat Pendua dan Tidak Konsisten
Pembelaan turut membangkitkan isu penduaan pertuduhan (duplicity) yang mencampurkan dua kesalahan berbeza — Seksyen 16 (menerima suapan) dan Seksyen 23 (menyalahgunakan kedudukan) — dalam satu kertas pertuduhan.
Selain itu, pertuduhan menyebut lokasi kesalahan di AmIslamic Bank, Jalan Raja Chulan, sedangkan perbuatan sebenar yang dipersoalkan berlaku di Pejabat Menteri Kewangan, menyebabkan kekeliruan terhadap jenis kesalahan yang perlu dijawab oleh tertuduh.
Empat Elemen AMLA Gagal Dibuktikan
Dalam kesimpulan hujahan hari keenam, Tan Sri Shafee menegaskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan keempat-empat elemen utama kesalahan AMLA, iaitu:’
- Tiada perbuatan (actus reus) dilakukan oleh Najib;
- Tiada niat (mens rea) untuk melakukan kesalahan;
- Sumber dana tidak terbukti haram; dan
- Tiada kesalahan predikat di bawah Akta SPRM.
Beliau menambah bahawa keseluruhan pertuduhan terhadap Najib bermotifkan politik dan tidak disandarkan kepada bukti kewangan forensik yang kukuh.
Perbicaraan akan bersambung esok dengan sambungan hujahan berkenaan isu keterangan dengar cakap (hearsay evidence) yang masih belum selesai dibentangkan oleh pihak pembelaan.










