Peguam Tegaskan Najib Tak Pernah Arah Masuk RM2.08 Bil Ke Akaun Peribadinya

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Pihak pembelaan hari ini menegaskan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak pernah memberi sebarang arahan supaya wang RM2.08 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadinya di AmBank, sekali gus menolak dakwaan beliau terbabit dalam pertuduhan pengubahan wang haram.

Peguam Datuk Tania Scivetti berhujah di Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan bekas Perdana Menteri itu secara langsung mengarahkan bank untuk menukar dua kiriman wang dalam dolar Amerika Syarikat (AS$) kepada sembilan transaksi dalam Ringgit Malaysia (RM).

Menurutnya, keterangan Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu, turut menyokong hujah tersebut apabila saksi berkenaan tidak pernah berhubung terus dengan Najib berhubung penukaran AS$681 juta kepada mata wang tempatan.

“Joanna Yu sendiri mengakui segala urusan dibuat atas arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang sebenarnya tiada kuasa terhadap akaun Najib ketika itu,” kata Tania.

Beliau menambah, Najib juga tidak pernah memberi kuasa kepada Jho Low atau bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil, untuk melaksanakan sebarang tukaran mata wang asing berkaitan akaunnya.

“Keterangan Najib konsisten dengan surat mandat yang menunjukkan hanya beliau mempunyai kuasa penuh meluluskan sebarang transaksi,” jelasnya lagi.

Tania turut menegaskan bahawa pendakwaan gagal mengemukakan sebarang rekod atau dokumen kontemporari yang membuktikan arahan penukaran wang itu benar-benar diterima daripada Najib.

“Mahkamah tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tertanya-tanya sama ada arahan itu wujud atau sekadar andaian. Bukti jelas menunjukkan Najib tidak pernah meluluskan penukaran AS$620 juta dan AS$61 juta kepada Ringgit Malaysia,” katanya.

Peguam itu menegaskan bahawa tanpa bukti kukuh berhubung arahan tersebut, sembilan pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib tidak dapat dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah kini sedang mendengar penghujahan pembelaan bagi kes bekas Perdana Menteri itu yang berdepan empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

BBerkaitan

Latest articles