KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran mengingatkan semua pengamal undang-undang untuk fasih berbahasa Melayu, sekaligus tidak menganaktirikan bahasa kebangsaan itu.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut – PN) mengenai pemerkasaan Bahasa Melayu dalam kalangan peguam dalam CLP, di Dewan Rakyat hari ini.
Walaupun tidak menafikan kebanyakan silibus pembelajaran khususnya dalam Sijil Amalan Guaman (CLP) menggunakan Bahasa Inggeris namun ia bukan alasan untuk para peguam tidak menggunakan Bahasa Melayu.
“Betul, kita berpandangan peguam-peguam (memang) perlukan kredit untuk Bahasa Melayu di Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk jadi peguam cara.
“Di mahkamah semua (prosiding) dijalankan dalam Bahasa Melayu tapi jangan kita lupa kebanyakan buku, saya boleh cakap lebih 90 peratus adalah dalam Bahasa Inggeris. (Namun mereka) juga masih perlu fasih dalam Bahasa Melayu … Jangan anaktirikan Bahasa Melayu,” katanya.
Terdahulu, beliau bersetuju dengan pendirian Chiew Choon Man (Miri- PH) bahawa peguam daripada Sabah dan Sarawak perlu dilibatkan dalam Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia.
Menurut Kulasegaran, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan keanggotan lembaga tersebut dijangka akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
“Saya juga bersetuju kita ada wakil dari Sabah dan Sarawak perkara ini telah diutarakan dan beberapa mesyuarat telah diadakan. Saya percaya RUU ini akan dibawa pada sesi akan datang supaya (pihak) yang berkepentingan akan menjadi anggota,” ujarnya.