KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin membangkitkan kekhuatiran wujudnya campur tangan daripada ‘pihak atasan’ dalam proses kehakiman.
Peguam utama pembelaan, Haresh Mahadevan meluahkan rasa kecewa selepas permohonan untuk mendapatkan minit prosiding reman pasangan suami isteri itu ditolak tanpa alasan konkrit, hanya diberitahu bahawa ada ‘arahan pihak atasan’.
“Arahan siapa sebenarnya yang mengatasi keperluan keadilan? Ini sangat mengecewakan. Tindakan ini boleh menjejaskan prinsip perbicaraan yang adil,” ujar Haresh ketika berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh.
Haresh mendakwa minit prosiding itu amat penting untuk menyoal balas saksi utama seterusnya, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail.
Ketika hal itu dibangkitkan, pasangan tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf kelihatan terganggu, saling berbisik sambil menggelengkan kepala apabila mendengar penjelasan peguam mereka.
Selepas prosiding, Haresh memaklumkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya secara pada 19 Februari mendakwa dokumen itu tidak akan dibekalkan, kononnya atas “arahan dari pihak atasan”.
“Kami hanya mahukan proses yang adil. Jika bahan penting seperti ini disekat, bagaimana sistem kehakiman kita mahu dilihat telus? Dan siapakah sebenarnya ‘pihak atasan’ itu yang boleh mengarahkan sesuatu di luar pengetahuan mahkamah?” soalnya.
Dalam pada itu pasangan suami isteri itu terus menjadi tumpuan pemberita apabila Zaim Ikhwan hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda, sama seperti semalam.
Pasangan itu sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Mereka berdepan hukuman berat jika disabitkan kesalahan.
Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada 6 Disember 2023.