Peguam Dakwa Ketetapan MKN Selangor ‘Songsang’, Bebankan Tuan Tanah

SHAH ALAM: Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengkritik ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor berhubung isu pencerobohan tanah termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan, dengan mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada.

Zainul Rijal turut mempersoalkan sama ada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menyedari bahawa pendekatan diumumkan itu didakwa menjejaskan hak pemilikan tanah yang dijamin Perlembagaan.

Menurutnya, ia juga dilihat bertentangan dengan Kanun Tanah Negara khususnya berkaitan penggunaan tanah dan kesalahan pencerobohan.

Zainul Rijal menegaskan, kenyataan tersebut seolah-olah mengiktiraf perbuatan yang tidak sah di sisi undang-undang dan dalam masa sama meletakkan beban kepada pemilik tanah yang mematuhi peraturan.

Katanya, pendirian itu juga tidak selari dengan beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi berhubung hak dan tatacara pemilikan tanah.

Zainul Rijal turut mendakwa terdapat situasi di mana tuan tanah diminta menyelesaikan sendiri isu pencerobohan walaupun laporan polis dan aduan telah dibuat, tanpa tindakan tegas daripada pihak berkuasa tempatan.

Semalam, Amirudin memaklumkan MKN Selangor bersetuju melaksanakan tiga langkah sekiranya berlaku pencerobohan termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di tanah kerajaan atau persendirian.

Antaranya ialah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan pendakwaan dijalankan, menghantar notis kepada penceroboh serta mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) sebagai pengantara.

Menurut beliau, jika rundingan melalui JKD gagal mencapai penyelesaian, pemilik tanah akan dinasihatkan untuk meneruskan tindakan melalui mahkamah.

Pendekatan itu, katanya, bertujuan memastikan setiap isu dikendalikan secara teratur oleh pihak berkuasa serta mengelakkan sebarang ketegangan yang boleh menjejaskan keharmonian negeri.

Kenyataan tersebut dibuat selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat MKN Negeri Selangor yang turut dihadiri kepimpinan polis, tentera, pihak berkuasa tempatan dan pegawai daerah bagi membincangkan aspek keselamatan awam negeri.

BBerkaitan

Latest articles