Seorang pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, atas dakwaan memikat iteri orang, empat tahun lalu.
Tertuduh, Azmi Ali, 45, mohon dibicarakan selepas menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut kertas pertuduhan, Azmi didakwa memikat seorang wanita berusia 44 tahun, yang juga merupakan seorang isteri, sehingga berlaku hubungan seks antara mereka.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh yang juga bapa kepada dua anak diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 November depan sebagai sebutan semula kes.
Untuk rekod, pada 22 September lalu, Azmi mengaku bersalah di mahkamah yang sama dan selepas menerima pengakuan tertuduh, mahkamah menetapkan hari ini untuk jatuh hukum, namun tertuduh menukar pengakuannya.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat manakala tertuduh diwakili peguam Azman Zakaria.