Pegawai Polis Disiasat JIPS Gara-Gara Salah Urus Kes Zara Qairina

KUALA LUMPUR: Tiga pegawai kanan polis, termasuk Ketua Polis Daerah, kini berdepan siasatan tatatertib berhubung kelemahan penyeliaan dalam kes kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menghantar pasukan khas ke Sabah dalam masa terdekat bagi membuka kertas siasatan tatatertib.

“Siasatan ini akan melibatkan Ketua Polis Daerah berpangkat Superintendan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (ASP) serta pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.

“Pasukan JIPS akan mengambil semula kenyataan semua pihak terlibat dan jika terbukti gagal menyelia dengan baik, tindakan tegas menanti mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka, malam tadi.

Menurut beliau, siasatan ini berbeza daripada pasukan khas JSJ Bukit Aman yang meneliti aspek siasatan jenayah.

Sebaliknya, JIPS akan menilai kelemahan dari sudut pengurusan dan penyeliaan dalaman.

Siasatan itu menyusul selepas pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, yang sebelum ini mengesahkan pegawai penyiasat gagal memohon bedah siasat sejak awal, sekali gus mencetuskan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

SOP jelas menetapkan bahawa bedah siasat wajib dijalankan jika punca kematian tidak diketahui atau wujud elemen mencurigakan.

Difahamkan, ketiga-tiga pegawai terbabit masih bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing.

Ayob Khan menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang cuai dalam menjalankan amanah, terutama dalam kes berprofil tinggi yang menyentuh sensitiviti masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles