Pegawai Kanan SPRM Nafi Dakwaan Najib Terlibat dalam Kenaikan Pangkatnya

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai pengaruh dalam isu kenaikan pangkat, demikian menurut Bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Fikri Ab Rahim.

Malah pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu juga berkata kenaikan pangkatnya dibuat ketika suruhanjaya itu diterajui oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamed, dan bukan atas campur tangan mana-mana pihak luar.

Menurut Fikri, beliau mula menyandang jawatan Ketua Cawangan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) pada 2009 sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Sektor AMLA.

Pada 2016, beliau dilantik sebagai Pengarah Bahagian AMLA dan Pelucuthakan Harta sebelum dinaikkan ke gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C pada tahun 2017.

Dalam prosiding pembelaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib, Fikri menegaskan bahawa dakwaan yang mengaitkan kenaikan pangkatnya dengan bekas perdana menteri adalah tidak berasas.

“Yang menaikkan pangkat saya adalah SPRM dan Pesuruhjaya. Saya tidak nampak langsung apa kaitannya dengan Perdana Menteri ketika itu,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa kenaikan pangkatnya berpunca daripada penglibatannya dalam siasatan kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion sejak 2015.

Fikri merupakan antara enam pegawai kanan SPRM, termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya ketika itu, Tan Sri Azam Baki, dan wakil Jabatan Peguam Negara (AGC), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, yang telah ke Arab Saudi bagi menjalankan siasatan.

Pasukan itu menemubual Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud antara 27 hingga 29 November 2015, yang dikatakan menandatangani surat derma kepada Najib.

Najib kini sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan dijadual bersambung pada 20 Februari depan.

BBerkaitan

Latest articles