KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi mempersoalkan pendedahan media mengenai dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang didakwa terlibat dengan sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Menurut beliau, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan kepentingan awam serta integriti pegawai tertinggi badan penguat kuasa negara. Justeru, penjelasan segera perlu diberikan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
Puad berkata, laporan media mendakwa Azam memiliki saham dalam Velocity Capital Partner Bhd dengan nilai dianggarkan sekitar RM800,000.
Perkara itu, katanya, menimbulkan persoalan sama ada pemilikan tersebut mematuhi peraturan yang ditetapkan ke atas penjawat awam.
“Apakah dakwaan ini benar dan adakah ia dibenarkan di bawah peraturan sedia ada? Ini bukan kali pertama nama Azam Baki dikaitkan dengan kontroversi berkaitan pemilikan saham,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu turut menegaskan isu berkenaan tidak wajar dibiarkan berlarutan tanpa penjelasan rasmi daripada kerajaan dan pihak terlibat.
Menurutnya, ketelusan amat penting bagi menjaga keyakinan orang ramai terhadap institusi penguat kuasa.
“Kerajaan dan Azam Baki perlu menjawab isu ini segera. Jangan tangguh-tangguh. Ini isu kepentingan awam dan tidak boleh disapu bawah karpet. Saya berharap perkara ini dibangkitkan di Parlimen,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Azam didakwa memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan dokumen pemfailan korporat, sekali gus menjadi pendedahan awam pertama mengenai pegangan besar atas namanya sejak kontroversi serupa beberapa tahun lalu.
Laporan Bloomberg menyebut, Azam, 62, didakwa memiliki sebanyak 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan tahunan syarikat itu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 3 Februari tahun lalu, dengan nilai pegangan dianggarkan hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan hari ini.










