Parti Cinta Sabah (PCS) mengecam ucapan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang didakwa menyifatkan peperangan berdarah di Kampung Tanduo pada tahun 2013 sebagai ‘sandiwara’.
Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman berkata penghinaan terhadap pengorbanan pasukan keselamatan sehingga meragut nyawa 10 orang daripada mereka membuktikan sikap pemimpin-pemimpin Warisan sebagai buta mata dan hati serta langsung tidak menghargai jasa mereka mempertahankan negeri.
“Dimanakah rasa hormat pemimpin Parti Warisan ini kepada anggota keselamatan Malaysia yang telah terkorban semasa mempertahankan kedaulatan bumi Sabah?
“Ucapan beliau boleh disifatkan sebagai satu ‘Pengkhianatan’ kepada Sabah.
“Jelas sekali kenyataan yang telah dikeluarkan menunjukkan betapa buta mata serta hati Parti Warisan terhadap pengorbanan wira-wira negara, sekaligus melukakan hati keluarga dan rakan-rakan seperjuangan anggota keselamatan kita,” demikian memetik kenyataannya, hari ini.
Terdahulu, satu video tular dimana Mohamaddin dikatakan sedang berkempen di Kampung Warisan di Lahad Datu dengan menyebut peristiwa berdarah berkenaan.
Memetik sebahagian ucapannya, bekas menteri pelancongan , seni dan budaya itu dilaporkan berkata pertempuran antara anggota keselamatan Malaysia dan kumpulan pengganas Filipina itu dilakukan ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu meraih sokongan rakyat apabila mendepani pilihan raya.
Bahkan ujarnya, pertempuran itu juga berlaku akibat kerajaan BN pada ketika itu merasakan terancam dengan kekuatan pihak pembangkang.
Anifah, dalam kenyataan yang sama menggesa rakyat Sabah menilai keperibadian pemimpin Warisan jika berterusan terus mentadbir negeri itu.
“Seharusnya Parti Warisan bermuhasabah dan malu dengan kenyataan yang jijik ini.
“Rakyat seharusnya menolak pimpinan Parti Warisan yang sebegini,” katanya.