PCS Akan Bergerak Sendiri Di Pilihanraya Negeri Sabah

Parti Cinta Sabah (PCS) akan bergerak bersendirian dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti dan bakal melancarkan manifestonya dalam tempoh terdekat, kata Presidennya Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata parti itu sedang menentukan calon terbaik untuk diletakkan bertanding di sekurang-kurangnya separuh daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“…yang penting PCS harus menang, negeri kita harus ditadbir oleh anak-anak Sabah, ramai yang mahu berjuang bersama kita,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anifah yang juga bekas menteri luar berkata PCS sebagai parti tempatan Sabah perlu diberi sokongan padu supaya dapat menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu turut membayangkan akan bertanding dalam PRN akan datang.

Anifah juga berkata beberapa wakil rakyat yang keluar daripada parti pemerintah sebelum ini telah menunjukkan minat menyertai PCS

“Kita tidak kata tidak terima, kita kena hormat juga, tetapi kita akan nilai mereka,” katanya yang tidak mahu mendedahkan wakil rakyat berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PCS bertanding di 18 kerusi namun tidak memenangi sebarang kerusi.

Ketika diminta mengulas mengenai situasi politik di Sabah, Anifah berkata sudah tiba masanya bagi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang juga merupakan abangnya memberi peluang kepada muka baharu untuk mentadbir Sabah.

“Sebagai rakyat Sabah, saya menghargai apa yang Musa telah lakukan, tetapi saya fikir masanya telah berlalu. Biar orang baharu mengambil alih. Musa abang saya, saya sayang beliau, tetapi (dalam) politik (ia) berbeza,” katanya. — BERNAMA

Latest articles

Related articles

spot_img