KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan menerima apa sahaja usul untuk dibawa ke Perhimpunan Agung yang akan datang selagi mana ia dapat memperkukuhkan parti .
Tegasnya, tempoh sekarang adalah usaha untuk merapatkan saf dalam kalangan pemimpin dan parti setelah “terpukul dengan kuatnya” pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mahu usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, agar dibawa ke Perhimpunan Agung akan datang.
Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun menegaskan cadangan Jamal itu akan dikaji terlebih dahulu.
“Tidak, kita akan mengkaji semua aspek sebab yang penting adalah bagi kita merapatkan saf kepimpinan,” katanya selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun ke-10 Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia, malam tadi.
Perhimpunan Agung UMNO yang asalnya dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember ini, ditangguhkan ke 11 hingga 14 Januari tahun depan.