PAU 23 – Usul Pinda Perlembagaan berkaitan hal keahlian lulus sebulat suara

Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti berhubung hal-hal keahlian UMNO dan prosedurnya.

Pindaan tersebut melibatkan tiga Fasal Utama, iaitu Fasal 5, Fasal 10 dan Fasal 18 yang menyentuh soal pendaftaran keahlian dan tanggungjawab Majlis Tertinggi (MT).

Kelulusan pindaan tersebut disahkan Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin yang menyatakan pindaan tersebut lulus dengan undian sebulat suara.

Terdahulu Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika membentangkan pindaan tersebut berkata melalui pindaan yang dilakukan, semua perkara berkaitan dengan keahlian UMNO akan dipindahkan ke dalam satu peraturan baharu yang akan dikeluarkan oleh MT.

“Pindaan-pindaan ini dicadangkan untuk menambah baik, memperkemas dan memudahkan proses permohonan keahlian. Ini kerana peraturan-peraturan berkaitan keahlian UMNO, seperti juga peraturan-peraturan parti yang lain akan lebih mudah untuk dikemaskini atau dipinda apabila wujudnya keperluan.

“Apabila pengenalan peraturan ini berada di bawah kuasa MKT, sebarang pindaan dan kemaskini tidak memerlukan pindaan perlembagaan UMNO,” katanya.

Perhimpunan agung kali ini melibatkan 2,891 perwakilan yang terdiri daripada perwakilan dari 189 bahagian serta perwakilan dari sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu.
— BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles