​KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO Kedah mencadangkan supaya kira-kira 40,000 pesawah dan petani di negeri itu yang terjejas akibat isu kelewatan bekalan baja menuntut ganti rugi secara rasmi daripada pihak kerajaan.
​Perwakilan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa, krisis yang melanda golongan pesawah ketika ini berpunca daripada kecuaian serta kelemahan pentadbiran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang gagal memastikan kebajikan pesawah terjaga.
​Menurut beliau, pesawah yang bergantung penuh kepada hasil pertanian kini berdepan kemerosotan pendapatan yang serius berikutan kelewatan agihan baja subsidi berkenaan.
​”Baru-baru ini 40,000 pesawah dan petani terkesan akibat keculasan dan kecurangan yang dibuat oleh Menteri Pertanian.
“Kalau depa (mereka) boleh tuduh menteri kita akibat keculasan dan kecurangan, kita juga boleh kata menteri depa tak buat kerja!” katanya dalam perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.
​Tegasnya, tuntutan ganti rugi wajar dibuat memandangkan punca pencarian ribuan pesawah terjejas teruk akibat kegagalan pengurusan kementerian.
​”40,000 pesawah dan petani yang sumber pendapatan depa bergantung kepada hasil pertanian, macam mana depa nak dapat balik hasil?
“Hari ini UMNO Kedah mencadangkan supaya 40,000 pesawah yang terkesan ini, kita tuntut ganti rugi daripada kerajaan,” tegasnya.
​Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah turut membidas cadangan serta dasar kementerian berkaitan yang dianggap tidak berpijak di alam nyata.
​Beliau menyindir gagasan mengumumkan “teknologi baharu” penternakan udang di dalam sawah padi, sedangkan masalah asas berkaitan baja pesawah masih gagal diselesaikan.
​”Macam mana nak bercucuk tanam sawah padi kalau baja pun lambat sampai kepada pesawah dan petani?
“Lepas tu menteri pi luar negara, kononnya lawatan meneroka teknologi baru… balik-balik dia umum ada teknologi mantap iaitu menternak udang di dalam sawah padi!”










