Patut Malu Curi Barang, Tapi Dia Maki Orang – PM Sindir Sanusi

KUALA LUMPUR: Tak perlu berdolak-dalih, sebaliknya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya berasa malu kerana dakwaan kecurian nadir bumi (REE) berlaku di negeri yang dipimpinnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seterusnya menggesa Sanusi segera memberikan penjelasan mengenai dakwaan itu kepada rakyat Kedah.

“Hangpa patut malu duduk curi barang, nadir bumi kemudian duduk maki orang.

“Hang jawab masa ini juga!, tegas Anwar dalam ucapannya sempena Ta’aruf Perpaduan, di Jitra malam tadi.

Hadir sama adalah Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufik Johari dan barisan calon Kerajaan Perpaduan iaitu DUN Bukit Kayu Hitam, Zainal Abidin Mohamad dan calon DUN Jitra, Datin Sabrina Ahmad.

Dalam ucapan yang sama, Anwar sekali lagi mengingatkan Menteri Besar Kedah itu berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan Majlis Raja-raja Melayu.

“Apa masalah pergi menghadap Tuanku Sultan. Ada kata saya nak berniaga, saya tidak berniaga, kalau nak berniaga silakan.

“Jangan main-main, hang dah kena dengan Sultan Selangor sat (nanti) kena dengan Sultan Kedah sekali lagi baru tau,” katanya lagi.

Isu REE mula dibangkitkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa Sanusi didenda RM500,000 tahun lalu kerana kesalahan mencuri unsur REE.

Pada 16 Julai lalu, Saifuddin Nasution berkata, denda tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ke atas Sanusi selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah kerana kegiatan yang dilakukan di Sik.

Bukan itu sahaja Saifuddin Nasution turut mendedahkan gambar menunjukkan Sanusi mengadakan lawatan tapak di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik pada 19 Februari lalu.

Saifuddin mendakwa, pendedahan gambar itu sekali gus membuktikan Sanusi sememangnya mempunyai pengetahuan mengenai kecurian unsur REE di Kedah.

BBerkaitan

Latest articles