JOHOR BAHRU: Seorang pegawai yang bertugas di kaunter MyBorderPass di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) direman empat hari selepas disyaki terlibat dalam kegiatan flying passport, satu aktiviti penyalahgunaan dokumen perjalanan di pintu masuk negara.
Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) BSI, suspek ditahan sekitar jam 11.30 pagi semalam selepas unit integriti melakukan pemantauan di Dewan Penumpang Masuk.
Pemeriksaan mendapati pegawai berkenaan gagal mematuhi arahan pentadbiran yang melarang kakitangan membawa atau menggunakan telefon bimbit ketika bertugas.
Pegawai tersebut kemudian mengaku membawa dua telefon bimbit tanpa melakukan proses serah-terima kepada penyelia seperti diwajibkan.
Ketika dibawa untuk siasatan lanjut, pihak AKPS menemui lapan pasport asing iaitu enam dari China, satu Indonesia dan satu Vietnam yang disorokkan dalam sebuah beg hitam di ruang simpanan motosikal Honda Vario miliknya yang diparkir di kawasan BSI.
Susulan penemuan itu, pegawai terbabit ditahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport milik orang lain tanpa kuasa sah.
Turut disita ialah motosikal berkenaan, lapan naskhah pasport dan dua unit telefon bimbit.
AKPS menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melanggar arahan integriti atau terlibat dalam perbuatan menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas seperti ini akan diteruskan bagi memastikan kawalan pintu masuk negara terus kukuh,” menurut kenyataan itu.










