Pasangan Suami Isteri Terselamat Dari Cubaan Bunuh Selepas Enam Das Tembakan Dilepaskan

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri terselamat daripada cubaan bunuh selepas enam das tembakan dilepaskan di kediaman mereka di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, Johor tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.17 tengah hari, mangsa berada di rumah, ternampak sebuah Perodua Bezza maroon masuk ke halaman rumahnya.

Beliau berkata pasangan itu bernasib baik kerana peluru dilepaskan tidak mengenai mereka dan hanya tersasar ke sekitar lokasi kejadian.

“Semasa kejadian pengadu sedang berdiri di hadapan pintu rumah telah didatangi tiga lelaki.

“Salah seorang suspek telah mengeluarkan pistol dari pinggang dan kemudian mengacu dan melepaskan empat das tembakan ke arah pengadu dan suaminya.

“Suspek kemudian melarikan diri dan melepaskan dua lagi das tembakan,” katanya.

Bahrin berkata pasangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis berjaya menahan seorang daripada suspek yang mempunyai 27 kes jenayah lampau dikenali sebagai Man Tiger.

“Suspek dikenali sebagai Man Tiger, 32, berasal dari Simpang Renggam positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan urin yang dijalankan,” katanya.

Bahrin berkata, pihaknya mengenal pasti tujuh lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes itu dan kini diburu polis.

Beliau enggan mengulas lanjut termasuk punca serangan dan berkata semuanya masih dalam siasatan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

 

BBerkaitan

Latest articles