Pasangan Suami Isteri Direman Tujuh Hari Kes Kematian Bayi 7 Bulan

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kematian tragis seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan yang ditemui dalam keadaan lebam di seluruh badan di sebuah kondominium, semalam.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, perintah reman terhadap pasangan berusia 38 dan 50 tahun itu dikeluarkan mahkamah sehingga 6 Ogos depan.

“Siasatan awal mendapati bayi malang itu mula tinggal bersama keluarga angkatnya sejak 18 Jun lalu selepas diserahkan oleh ibu kandungnya yang merupakan warga Indonesia sebelum pulang ke negara asal,” katanya ketika dihubungi media.

Usuf berkata, proses bedah siasat terhadap mayat bayi sedang dijalankan dan pihaknya masih menunggu laporan penuh dari Jabatan Forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman berat terhadap individu yang disabitkan dengan penderaan atau pengabaian terhadap kanak-kanak.

Terdahulu pasangan berkenaan ditahan selepas si suami yang merupakan bapa angkat bayi berkenaan membuat laporan polis pada jam 9.34 malam, memaklumkan mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri di rumah.

“Siasatan awal mendapati bayi tersebut ditemui tidak bernyawa di ruang tamu dengan keadaan tubuh kebiruan dan dipenuhi lebam. Keadaan ini menimbulkan syak berlaku unsur penderaan,” katanya dalam kenyataan.

BBerkaitan

Latest articles