Pasangan Suami Isteri Didakwa Aniaya Anak Kandung, Mangsa Dikurung Dalam Sangkar Anjing

GEORGE TOWN: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen George Town hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuan mereka yang berusia 12 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal, dalam kejadian dua minggu lalu.

Chew Kok Wan, 47, dan isterinya Mak Wai Peng, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-duanya sebagai penjaga sah kepada mangsa didakwa menyebabkan penderaan fizikal terhadap kanak-kanak tersebut di kediaman mereka di sebuah kondominium di Bayan Lepas, kira-kira jam 7.30 pagi, 18 Mei lalu.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong, mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang serta syarat tambahan seperti melapor diri di balai polis setiap bulan, larangan mengganggu mangsa dan penyerahan pasport kepada mahkamah.

Namun, peguam V. Parthipan merayu jaminan minimum, dengan alasan anak guamnya berisiko kehilangan pekerjaan selepas direman selama seminggu.

“Kok Wan bekerja sebagai penyelia kilang dengan gaji RM5,500, sementara isterinya berpendapatan RM7,000 sebagai pengurus projek.

“Tambahan pula, Wai Peng baru selesai pembedahan awal kanser ovari dan memerlukan rawatan susulan,” katanya.

Selepas mempertimbangkan rayuan dan hujahan, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 1 Julai depan.

Media sebelum ini melaporkan pasangan itu ditahan polis selepas anak kandung mereka didakwa didera secara fizikal dan dikurung dalam sangkar anjing.

Perkara itu terbongkar selepas guru kaunseling sekolah menyedari kesan lebam dan luka di belakang badan mangsa pada 19 Mei lalu.

Polis turut merampas sebatang rotan yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

BBerkaitan

Latest articles