Pasangan Suami Isteri Dibunuh Anak Selamat Disemadi Dalam Satu Liang Lahad

KUALA LUMPUR: Jenazah pasangan warga emas yang mati dibunuh anak lelaki mereka kelmarin, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Penchala, malam tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Agus Omar, 82 dan Allahyarham Darlisma Nyatu Salleh, 72 dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah sebelum tiba di tanah perkuburan berkenaan pada jam 9.15 malam.

Seramai kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan jiran hadir ke pengebumian berkenaan yang selesai jam 9.40 malam.

Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu, pasangan suami isteri berkenaan ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang tamu mereka di Kampung Sungai Penchala, akibat ditikam berkali-kali oleh anak lelakinya yang berusia 42 tahun.

Lelaki itu yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik bagaimanapun berjaya ditahan kira-kira jam 10.30 malam yang sama di Terowong Penchala Lebuhraya Sprint menghala ke bandar raya ini.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan hasil saringan air kencing mendapati dia positif tiga jenis dadah selain mempunyai sembilan rekod janayah lampau membabitkan dadah.

Suspek diremah selama tujuh hari bermula semalam mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles