ARAU: Hasrat untuk menyatukan PAS dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) hanya mampu direalisasikan sekiranya kedua-dua parti bersedia berkompromi, terutama dalam menentukan pembahagian kerusi.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, perkara berkaitan kerusi tidak seharusnya dijadikan batu penghalang sekiranya kedua-dua parti benar-benar mempunyai kesungguhan untuk membentuk kerjasama politik baharu.
Menurut beliau, pengalaman kerjasama antara PAS dan UMNO sebelum ini membuktikan bahawa perbezaan kepentingan boleh diatasi apabila wujud kesediaan untuk berkorban demi agenda lebih besar.
“Kalau masing-masing benar-benar ikhlas, saya tidak nampak agihan kerusi sebagai masalah besar. Kedua-dua pihak perlu mempunyai kesediaan untuk mengalah dan berkorban.
“PAS sendiri pernah melalui keadaan itu dan banyak berkorban dalam kerjasama terdahulu. Hari ini, kita berada pada kedudukan yang semakin hampir untuk memimpin.
“Jadi, peluang untuk menyatukan PAS dan UMNO sebenarnya sudah ada. Apa yang diperlukan sekarang ialah usaha untuk mengukuhkan serta menyuburkan kembali hubungan itu,” katanya, semalam.
Hashim berkata, penyatuan kedua-dua parti juga dilihat selari dengan kehendak sebahagian besar rakyat, khususnya pengundi Melayu yang mahukan kerjasama lebih kukuh antara dua parti berkenaan.
Katanya, landskap politik ketika ini turut membuka ruang kepada PAS dan UMNO untuk mencari persamaan berbanding terus mempertahankan perbezaan.
Perkara itu mendapat perhatian selepas Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Kelantan, Sabtu lalu, yang mengangkat agenda penyatuan ummah sebagai antara pendekatan utama parti itu menjelang PRU16.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Ulama UMNO turut menyatakan sokongan supaya hubungan politik dengan PAS diperkemaskan melalui satu bentuk kerjasama yang lebih rasmi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, pendirian PAS berhubung kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu masih menjadi perkara yang perlu dirundingkan.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini menegaskan parti itu tidak seharusnya menyerahkan kerusi yang mempunyai peluang kemenangan kepada pihak lain.
Menteri Besar Kedah itu turut mengkritik pendekatan memberikan kerusi berpotensi kepada pihak lain sedangkan PAS mengambil kawasan yang berisiko kalah, dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang “ikhlas dan bodoh”.
Sementara itu, Hashim turut menggesa PAS Pusat tidak membiarkan kemelut dalaman parti di Perlis berlarutan.
Beliau berkata, penyelesaian hanya boleh dicapai sekiranya punca sebenar permasalahan dikenal pasti dan ditangani secara menyeluruh.
“Kalau kita mahu menyelesaikan atau meredakan keadaan di Perlis, PAS Pusat perlu melihat terlebih dahulu apa punca sebenar yang menyebabkan masalah itu berlaku.
“Isu ini sudah lama dibangkitkan dan saya berharap pihak Pusat dapat memberikan perhatian serius,” katanya.










