More

    PAS ‘Tak Minta Sedekah’ Pembahagian Kerusi Dengan UMNO

    KUALA LUMPUR: PAS mendakwa masih mempunyai kekuatannya sendiri dan tidak sesekali meminta kerusi dengan UMNO seperti ‘meminta sedekah’, dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang  berkata demikian sebagai respon terhadap khabar angin bahawa parti itu hanta diberikan empat kerusi oleh Barisan Nasional (BN).

    “Kita ada dengar khabar angin, belum ada rundingan. Mereka (UMNO) nak beri kita empat kerusi, di Melaka dulu dua kerusi.

    “Takkan kita minta sedekah kerusi-kerusi ini?

    “PAS tak akan minta sedekah, PAS ada kekuatan sendiri,” ujarnya kepada pemberita sebagai mengulas PRN Johor yang akan diadakan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 Januari lalu.

    Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa PRN Johor sengaja diwujudkan oleh pemimpin UMNO yang ‘terdesak’.

    “PRN ini diadakan oleh kluster mahkamah, kluster yang kalah pada pilihan raya yang lalu (Pilihan Raya Umum ke-14) dan kluster yang tidak berjawatan dalam kerajaan.

    “Kluster mahkamah ni masih belum lagi disabitkan bersalah, kalau ada maruah lawan sahaja di mahkamah, jangan susahkan rakyat dengan PRN ini.

    “Nak selamatkan diri, susahkan rakyat. Bagi yang kalah pilihan raya, tunggulah , kena sabar tunggulah pilihan raya,” katanya.

    Abdul Hadi turut mendakwa ramai pemimpin PAS berasa kecewa dengan sikap pemimpin UMNO dalam banyak perkara.

    “Sebahagian seperti kluster mahkamah dan kluster yang saya sebutkan tadi.

    “Mereka inilah yang memainkan politik tidak sihat. Selepas Johor, mana pula mereka nak buat PRN ni, Perak?

    “Selepas satu- satu negeri mereka nak adakan PRN. Bukankah rakyat letih, takkan satu-satu negeri nak buat?,” katanya lagi.

    Bagaimanapun dalam masa yang sama Abdul Hadi memaklumkan, rundingan bersama BN masih berjalan bagi mencari penyelesaian PRN Johor ini. 

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini