PAS Tak Bermulut Murai Seperti PH Bila Jadi Kerajaan

Tidak seperti Pakatan Harapan (PH), kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang wujud pada hari ini disebabkan sikap dan pembawakan pemimpinnya dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan, partinya tidak berdendam dan tidak juga bermulut murai semasa “membina negara” bersama rakan-rakan di dalam PN.

Keadaan sebaliknya berlaku kepada kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini kerana bermulut tempayan, tergopoh-gapah serta tuding-menuding sehingga ia hanya bertahan 22 bulan sahaja.

“Nak ukur selepas setahun (menjadi kerajaan)? Ya, amat dipersilakan.

“… telah diukur oleh rakyat selepas (hampir) dua tahun pentadbiran kerajaan PH bahawa faktor kegagalan mereka adalah kerana gopoh-gapah, tuding menuding dan mulut tempayan,” katanya.

Nik Abduh menjawab ‘soalan’ mengenai apa yang sudah dilakukan PAS dan kegagalan parti itu melaksanakan apa yang dijanjikan mereka sewaktu menjadi pembangkang.

Untuk rekod pada PRU14 yang lalu PAS meletakkan lebih 100 calon di kerusi parlimen seluruh negara, bagaimanapun hanya memenangi 18 daripadanya.

Namun PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan setelah kerajaan PN dibentuk selepas kejatuhan kerajaan PH.

Meskipun bersama PN, PAS dalam masa sama kekal bekerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN).

Menerusi kerajaan hari ini, Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata kesempatan ini digunakan partinya untuk memahamkan rakyat Malaysia serta orang Islam mengenai siasah syariyah dengan berasaskan agama.

Malah PAS kimi bersikap terbuka untuk dinilai oleh orang ramai selepas menjadi kerajaan.

Ujar Nik Abduh, PAS sudah mengotakan sebahagian daripada janji mereka dan pada masa sama ada banyak lagi yang sedang dan akan terus diusahakan.

“Karakter PAS dalam politik adalah berhikmah dan bersederhana. PAS memimpin kepada perubahan dan islah tanpa berdendam dan tanpa bermulut murai. Begitulah membina negara,” katanya.

Nik Abduh juga berkata antara kekuatan PAS ialah parti itu tidak menari mengikut rentak musuh.

Latest articles

Related articles

spot_img