Barisan pemimpin PAS merasakan jika mereka bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), ia seperti ketiga-tiga parti saling memerlukan di antara satu sama lain, kerana setiap parti ada kelebihan tersendiri.
Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyatakan PAS sendiri tidak akan ke mana-mana tanpa kerjasama itu.
“Pendirian PAS dalam soal kerjasama politik ini, mesti membabitkan ketiga-tiga parti Melayu iaitu PAS, UMNO dan BERSATU.
“Pada pandangan kita, kalau PAS dengan UMNO atau BEESATU sahaja, ia tidak akan sampai ke mana. Ketiga-tiga parti ini semuanya saling memerlukan antara satu sama lain.
“Kita perlukan gabungan ketiga-tiga parti ini, sebab itu pentingnya Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), ketiga-tiganya ada kekuatan tersendiri,” katanya mengikut laporan portal media tempatan, hari ini.
BACA JUGA – Luaskan Penggunaan Tulisan Jawi Ke Seluruh Negara – PAS
Sebelum ini ada berita menyebutkan, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata PAS tegas bahawa UMNO mesti turut bersama menjadi rakan sekutu BERSATU.
Annuar berkata, UMNO kini tidak lagi ada pilihan untuk bertanding dalam PRU akan datang hanya bersama PAS sebagai sekutu, seperti rancangan awalnya dahulu.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, apa yang berlaku itu adalah masalah dalaman UMNO yang perlu diselesaikan.
“Isu ini kalau kita tengok di media, ia membabitkan di kalangan UMNO, kenyataan Annuar juga dijawab oleh pimpinan UMNO yang lain. Jadi bagi saya ini isu dalaman parti itu.
“Jadi kita harap UMNO boleh selesaikan, kami tak boleh nak campur tangan kerana ini masalah dalaman parti,” katanya.