PAS Setia Dengan Bersatu

 

ALOR SETAR: Tiada sebab untuk PAS meninggalkan Bersatu kerana ia menghargai pengorbanan parti itu yang keluar dari Pakatan Harapan (PH) sehingga membolehkan wujudnya kerajaan persekutuan yang baru.

 

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata partinya tidak akan sewenang-wenangnya meninggalkan rakan yang sama-sama berdepan dengan waktu susah dan senang.

 

Berucapan di majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-63 hari ini, beliau berkata muafakat politik bukan hanya bersifat sementara tetapi menunjukkan hala tuju ke mana negara dan rakyat hendak di bawa.

 

“Keberadaan kita dalam Kerajaan Persekutuan hasil daripada rakan-rakan kita yang berada dalam Pakatan Harapan.

 

“Kita menghargai betapa besarnya perjuangan dan pengorbanan mereka. Sebab itu bagi kita apa juga muafakat politik kita tidak boleh mengetepikan rakan kita dalam Bersatu,” ujarnya.

 

Tambah Tuan Ibrahim, pengorbanan yang dilakukan Bersatu itu juga turut memberi keuntungan terhadap UMNO.

 

“Tanpa mereka, UMNO pun tak mungkin berada dalam Kerajaan Persekutuan pada hari ini. Takkan jika kita menang jadi kerajaan tiba-tiba kita nak mengetepikan sahabat dan rakan kita,” jelas Tuan Ibrahim.

 

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim memaklumkan PAS akan meneruskan kerjasamanya dengan Bersatu dalam gagasan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

 

“Saya telah bertemu dengan rakan-rakan dalam mesyuarat di peringkat pimpinan tertinggi majlis tertinggi parti. Suka saya maklumkan telah menubuhkan jawatankuasa perundingan kerusi sebagaimana telah disebutkan oleh Ketua Pemuda.

 

“Kita telahpun memulakan perbincangan tersebut. Alhamdulilah ruangannya sangat mudah perbincangannya sangat baik dan muafakatnya sangat utuh.

 

“Kita yakin kita boleh selesai dalam hanya dua tiga kali perundingan soal kerusi akan selesai. Insya-Allah,” katanya.

 

 

BBerkaitan

Latest articles