PAS Sambut Seruan Akmal Kebangkitan MN 2.0

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin kanan PAS menyatakan keterbukaan dan sokongan terhadap gesaan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, agar kedua-dua parti itu kembali bekerjasama demi memperkukuh perpaduan Melayu.

Kenyataan tersebut sekali gus dilihat usaha menghidupkan semula perbincangan mengenai kebangkitan semula Muafakat Nasional (MN), pakatan politik yang pernah menyatukan Umno dan PAS sebelum ini.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, secara terbuka mengalu-alukan cadangan berkenaan sambil menyifatkannya sebagai petanda kepada kemunculan “MN 2.0”.

Nada sama disuarakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang menegaskan kesediaan PAS untuk bekerjasama semula dengan Umno menerusi MN, malah menyampaikan salam kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menekankan kepentingan kesatuan dalam kalangan umat Islam, dengan menyatakan kekuatan hanya dapat dibina sekiranya perpecahan dapat dielakkan.

Menurutnya, agenda penyatuan ummah perlu didahulukan berbanding kepentingan peribadi, sambil mengulangi slogan ringkas, “Kita buat kasi jadi!”

Dr Akmal sebelum ini menegaskan Umno dan PAS perlu kembali mencari titik persamaan untuk menyatukan orang Melayu menerusi MN, yang pernah terbentuk pada 2019 sebelum terkubur apabila PAS bersama Bersatu menubuhkan Perikatan Nasional (PN).

Gesaan terbaharu itu pula dilihat selari dengan pandangan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor, yang minggu lalu menyeru agar MN dihidupkan semula menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sanusi turut menegaskan hubungan antara PAS dan Umno amat penting bagi menjamin kestabilan politik, khususnya di peringkat akar umbi.

Pandangan tersebut bukanlah baharu, sebaliknya senada dengan pendirian beberapa pemimpin PAS yang berulang kali membangkitkan idea mengembalikan kerjasama dua parti Melayu-Islam itu.

Untuk rekod, Muafakat Nasional dibentuk kira-kira enam tahun lalu dengan matlamat menyatukan undi Melayu-Islam ketika Umno dan PAS berada di blok pembangkang susulan kemenangan Pakatan Harapan pada PRU 2018.

Namun, pakatan itu berakhir selepas PAS membentuk PN bersama Bersatu, selain wujud perbezaan pandangan apabila PAS mendesak agar Bersatu turut disertakan dalam MN, cadangan yang tidak dipersetujui Umno.

BBerkaitan

Latest articles