KUALA LUMPUR: Pas mengesahkan pencalonan seorang individu yang bukan Presiden parti itu sebagai calon rasmi untuk mengisi kekosongan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan menerusi persetujuan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Jawatankuasa Harian Pas Pusat.
“Individu itu bukan Presiden Pas,” katanya ringkas dalam sidang media di ibu pejabat Pas, hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti calon berkenaan, sekali gus menambah teka-teki dalam kalangan pemerhati politik dan rakyat.
“Calon itu telah dinamakan,” ujarnya tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.
Perkembangan itu hadir selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan bahawa Pas kekal sebagai parti peneraju dalam gabungan pembangkang susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Menurut Abdul Hadi, resolusi Muktamar Pas terdahulu telah meluluskan usul supaya parti itu terus mengetuai Perikatan Nasional, sekali gus memperkukuh kedudukan Pas sebagai tunjang utama gabungan tersebut.
Sebelum ini, pelbagai nama mula diperkatakan sebagai calon pengganti, termasuk Abdul Hadi sendiri serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar, namun sehingga kini tiada pengesahan rasmi.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah mengeluarkan notis Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang dijadual berlangsung pada Khamis ini.
Menurut notis itu, mesyuarat berkenaan akan memilih pengerusi mesyuarat dalam kalangan Timbalan Pengerusi PN selaras Fasal 8.3(II)(b) Perlembagaan PN, selain mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebelum melantik individu baharu sebagai Pengerusi Perikatan Nasional.
Mesyuarat dijangka bermula jam 8.30 malam di Ibu Pejabat Gerakan, Kuala Lumpur.










