PAS Pula Minta Bukti Sokongan Anwar Jadi PM

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang senang pada Perikatan Nasional (PN) yang turut mengakui pihaknya juga mempunyai sokongan membentuk kerajaan.

Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Anwar mengemukakan bilangan sokongan yanh diterimanya, nampaknya Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga mahu Presiden PKR itu mengambil langkah yang sama.

Abdul Hadi memuatnaik satu kenyataan di Facebooknya, meskipun dalam masa yang sama percaya apa yang berlaku dalam proses pembentukan kerajaan pusat hari ini pasti ada hikmahnya.

“Terima kasih kepada rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi. Kita telah berusaha sedaya upaya. Seterusnya Perdana Menteri perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima.

“Kepada rakyat, kami akan terus berkhidmat. Kepada negara, kami akan terus berbakti,” tulisnya.

Pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan pusat menjadi isu sepanjang enam hari selepas PRU15 apabila situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Kedua-dua gabungan politik, PH dan PN yang memiliki bilang kerusi terbanyak dicadangkan untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Namun PN menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong atas alasan bertentangan dengan prinsip mereka.

Hari ini Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Anwar selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, selepas mengadakan perbincangan khas bersama Raja-raja Melayu pagi tadi.

Latest articles

Related articles

spot_img