PAS Pertahan Tindakan Pilih Tun M Berbanding Muhyiddin Kerana Pengalaman

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku penasihat ekonomi di empat negeri adalah kerana pengalamannya dalam pentadbiran selama berpuluh tahun.

Menerusi ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS 2023 di Shah Alam malam tadi, Tuan Ibrahim berkata sudah pasti pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) diterima walaupun tidak diberikan peranan berkenaan.

“Ramai tanya kenapa tak lantik Tan Sri Muhyiddin? Saya tegaskan Tan Sri sebagai sebahagian daripada kita, Pengerusi PN sentiasa bersama memberi nasihat.

“Tun (Dr Mahathir) dari luar sedia pengalaman terima pandang baik dan jadikan pengalaman untuk pentadbiran negeri,” katanya.

PAS sebelum ini melantik Dr Mahathir sebagai penasihat ekonomi kepada empat negeri – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga menggesa supaya kerajaan menyediakan garis panduan mengenai isu 3R (religion, race and royal) bukan sekadar menyatakan larangan menyentuh topik berkenaan.

“Ramai antara kita disiasat kononnya sentuh 3R, saya lihat peraturan dibuat dari mulut pemimpin jadi undang-undang,” katanya.

Beliau berpandangan ada pihak mengambil kesempatan dan rakyat melihatnya tidak ada keadilan.

“PAS gesa satu peraturan mesti ada akta, mesti ada rang undang-undang, larangan mana batas-batas sempadannya,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles