PAS Percaya Tawaran Baru Muhyiddin Baik Demi Rakyat, Negara

PAS melihat janji Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu memastikan kebajikan rakyat terjamin, mewujudkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi serta mengekalkan keharmonian antara kaum.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata demikian merujuk kepada kenyataan terbaru Muhyiddin bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah tawaran baru kepada rakyat Malaysia dan akan terus kekal untuk tempoh yang panjang.

“PAS berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, konsep adil untuk semua, kepimpinan berintegriti dan berakhlak budiman serta mengambil pendekatan politik yang menyatukan ummah.

“Justeru PAS menyeru semua pihak supaya mendukung pendekatan sederhana, prihatin rakyat dan berkebajikan yang dibawa oleh PN, menolak pendekatan ekstrem, oportunis dan melampau yang tidak sesuai dengan negara Malaysia bermasyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin, dalam pada itu menegaskan bahawa PN akan terus kekal sebagai sebuah pakatan politik yang berkongsi aspirasi negara untuk generasi akan datang.

Ujarnya kerajaan PN berperanan penting dalam mewujudkan politik stabil, mengekalkan keharmonian kaum, menjunjung tadbir urus baik dan menegak kedaulatan undang-undang.

“Kita mahu memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan kompeten. Kita ingin terus merasai denyut nadi rakyat dan memenuhi keperluan mereka dengan penuh prihatin.

“Kita mempunyai aspirasi yang tinggi untuk terus memelihara perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Kita komited untuk mentadbir negara ini dengan berintegriti dan berwibawa demi memelihara kesejahteraan serta kebajikan rakyat seluruhnya,” katanya.

Muhyiddin turut meletakkan keyakinan bahawa sokongan rakyat kepada PN akan lebih terserlah dan kukuh apabila terbukti berjaya melaksanakan segala janji serta komitmen untuk rakyat dan sebahagiannya sudah terserlah melalui pentadbiran yang amanah dan berintegriti sejak setahun lalu.

BBerkaitan

Latest articles