KUALA LUMPUR: PAS muktamad tidak akan menyertai kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH).
Justeru itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS akan berperanan sebagai pembangkang konstruktif bersama Perikatan Nasional (PN).
“Setelah membuat pertimbangan dari pelbagai sudut serta meneliti pendapat umum, Pas berpendirian tidak akan menyertai Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
“Ia demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat khususnya pengundi yang memilih Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Pas akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan menasihati semua pihak bagi memastikan tadbir urus negara berjalan lancar dan dapat ditegakkan berpaksikan kepada prinsip prihatin, bersih dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu muncul selepas 24 jam parti itu memaklumkan akan membincangkan tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan bersama rakan komponen PN.