PAS minta PKR tidak bertanding di Chini

KOTA BHARU, 27 Mei  — PAS meminta pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR), untuk tidak bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, yang akan berlangsung pada 4 Julai.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, selain pembangkang sukar untuk memenangi DUN itu dan menjimatkan belanja, adalah sukar untuk mana-mana pihak berkempen, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kerusi DUN Chini ini adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan sukar untuk parti lain menang. Adalah lebih baik tidak ada pertandingan di Chini ini, untuk menyelesaikan masalah,” katanya kepada pemberita ketika melawat keluarga di tiga buah rumah yang musnah terbakar di Taman JPN, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Mohd Amar berkata, jika ada pertandingan adalah sukar untuk penyokong parti mematuhi prosedur operasi standard (SOP), terutama soal jarakkan sosial.

SPR menetapkan 4 Julai sebagai tarikh PRK Chini susulan kematian Adun kawasan itu, Abu Bakar Harun, 60, kerana serangan jantung pada pada 6 Mei lalu.

Pada PRU14 lalu, BN menang dengan majoriti 4,622 undi dan Mohd Amar berkata, PAS akan menyokong penuh BN bagi kerusi itu.

— BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles