PAS Minta Derma Bayar Saman Siti Mastura Dari Ahli Sahaja

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Fawwaz Jan berkata kutipan dana untuk membantu melunaskan bayaran RM825,000 saman fitnah Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad terhadap tiga pemimpin DAP hanya dilakukan dalam kalangan ahli parti itu sahaja.

“Walaupun ini kesalahan satu pihak saja tetapi dalam sirah (sejarah), ada sahabat yang tersilap, nabi minta bantu sahabat itu.

“Jadi dalam hal ini, kita meminta bantuan dalam kalangan ahli kita saja dan tidak membabitkan rakyat kerana ini tanggungjawab parti,” katanya sebagaimana memetik laporan BH, hari ini.

Bukan itu sahaja, PAS mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama membayar saman fitnah berkenaan kerana mereka mahu mengelakkan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pastinya melibatkan kos yang tinggi.

Begitu juga Siti Mastura boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika gagal melunaskan bayaran jika dikenakan notis kebankrapan.

“Jika tidak bayar (denda) akan diproses notis kebankrapan dan jika bankrap (muflis) sudah tentu Siti Mastura akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan PRK akan diadakan semula.

“Selepas pertimbang kos PRK yang akan bawa mudarat (kesan) jauh lebih besar, kita akur pilih (bayar denda) yang kesannya lebih kecil,” katanya kepada Berita Harian.

Pada 4 Dis, Mahkamah Tinggi Georgetown memerintahkan Siti Mastura membayar ganti rugi RM825,000 kepada veteran dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng,, dan Teresa Kok selepas didapati memfitnah.

Kenyataan mengaitkan semua plaintif mempunyai pertalian dengan komunis, sebagai fitnah dan tidak disokong bukti.

BBerkaitan

Latest articles