KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menafikan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dibiayai oleh syarikat perjudian.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya kesal dengan dakwaan itu yang dilemparkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet semalam.
Sehubungan itu PN menuntut Anwar mengemukakan bukti yang mengaitkan ia dengan dakwaan sedemikian.
”Tuduhan tersebut langsung tidak berasas dan PAS menuntut Perdana Menteri memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar tersebut jika ada.
”Sekirannya gagal Perikatan Nasional akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak-pihak yang memfitnah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Anwar memberi bayangan dana PRU15 yang digunakan oleh PN datang dari sumber perjudian.
“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.
“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana datang dari syarikat judi,” katanya.