ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) berpeluang untuk menang di 27 kerusi Parlimen jika PAS dan UMNO sama-sama bersaing di Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu pihaknya akan mengadakan rundingan dengan UMNO dengan menggunakan platform Muafakat Nasional (MN) supaya kerusi-kerusi berkenaan akan dimenangi oleh salah sebuah parti sekaligus boleh menewaskan PH.
“Kerusi ini dimenangi oleh PH sekarang AS tak menang, UMNO pun tak menang. Kalau muafakat politik dapat dibuat kita jangka kawasan itu kita menang. Misalnya Parlimen Raub dan Bentong.
“PAS terbuka dalam hal ini untuk melihat jauh ke depan kepentingan tersebut. Walau bagaimanapun sebagai sebuah parti kita bersedia dalam semua situasi.
“27 kerusi yang kita rasa kalau bertembung, dua-dua parti akan rugi. Perikatan Nasional rugi dan Barisan Nasional pun rugi,” kata Tuan Ibrahim dalam sidang akhbar hari ini, selepas menghadiri perasmian Muktamar Dewan pemuda PAS Malaysia ke-63.
Tuan Ibrahim bagaimanapun memaklumkan PAS dan UMNO masih belum mengadakan rundingan dalam isu ini, namun memberitahu ia akan dibuat bulan ini.
“Saya nak tegaskan bahawa PAS mendokong penyatuan ummah sebagai teras muafakat politik. Itu teras yang kita masih pegang dan diulang-ulang oleh Presiden parti.
“Tidak ada (rundingan lagi). Cuma hubungan kita dalam konteks Kerajaan Persekutuan yang mendokong semua parti UMNO, Pas dan Bersatu. Hubungan kita sangat baik. Tidak ada masalah hubungan peribadi. Cuma dalam konteks parti belum,” kata Tuan Ibrahim.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata MN masih belum dibubarkan dan akan dikekalkan kerana gagasan itu masih boleh digunakan terhadap isu-isu yang membabitkan orang Melayu dan Islam.
“Perundingan kita melihat muafakat dalam kerangkan MN. Saya ingin tegaskan MN belum dibubar. UMNO tak isytihar bubar, Pas pun tak isytihar bubar.
“Kita perlu mengekalkan platform ini kerana kepentingan Islam dan Melayu serta masa depan negara.
“Kalau pun bukan dalam konteks politik kita banyak lagi isu-isu yang perlu dilihat bersama. Jadi platform itu kena ada,” katanya.